PRODUK kraf cenderahati berasaskan kayu.
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my


Nilai estetika pada dekoratif kraf menjadikan ia produk tarikan semua golongan hingga diiktiraf kerana produk bermutu dan eksklusif.

Kraf daripada pelbagai material mampu mencipta keceriaan dan tampil dengan suasana berbeza walaupun diletakkan pada ruang atau sudut mana sekali pun.

Tidak hairanlah penghasilan kepelbagaian dan keunikan produk kraf dalam dimensi berbeza yang menjadi rebutan pemilik kediaman.

Ini kerana ia mudah disesuaikan dengan pelbagai konsep dekorasi terutama warisan Melayu dan Nusantara.

Tambahan pula, kerja penghasilannya yang teliti dan mengambil kira aspek tertentu menjadikannya begitu eksklusif.

Gambaran itu jelas dapat dilihat menerusi Karnival Info Kraf Perdana 2016 anjuran Jabatan Penjara Malaysia, di pekarangan sebuah pasar raya di Senawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Karnival selama 11 hari itu memperagakan kira-kira 500 jenis produk kraf terutama berkaitan aksesori kediaman yang dijual dengan harga berpatutan.

Lebih menarik, semua produk berkenaan dihasilkan banduan dari seluruh negara menerusi bimbingan jurulatih berkemahiran tinggi.

Menurut Penolong Pegawai Jabatan Penjara Seremban Samsul Izuan Jantan, produk berkenaan dihasilkan daripada pelbagai jenis material termasuk fabrik seperti batik dan songket, produk berasaskan kayu, rotan, kaca, simen fero dan kertas.

“Dari produk kecil berbentuk cenderahati, beg tangan, bakul, tudung saji dan pelbagai guna hingga elemen untuk hiasan rumah, semuanya dihasilkan dengan penuh ketelitian.

“Antara produk adalah sofa, rehal, tudung saji, tempat membakar satay, kerusi, meja, alat permainan dan hiasan dinding.

“Produk yang dijual itu dikeluarkan melalui pusat latihan kemahiran di setiap penjara seluruh negara.

“Umpamanya penjara Pengkalan Chepa, Kelantan mengeluarkan produk sofa rotan sementara penjara Jelebu, Negeri Sembilan membabitkan bakul rotan,” katanya ketika ditemui.

Samsul Izuan berkata peminat koleksi kraf berpeluang mendapatkan produk yang diinginkan untuk simpanan peribadi atau dijadikan hadiah eksklusif.

Katanya, keunikan produk kraf itu memberi ilham atau inspirasi dalam mewujudkan dekorasi menarik pada ruang kediaman.

Samsul Izuan berkata, pelbagai aneka warna boleh didapati dan kraf ini tampak eksklusif jika disusun selari atau dalam kumpulan.

“Antara yang mendapat sambutan adalah rehal yang dibuat dari kayu tapi melalui ukiran ditampilkan ia bersifat eksklusif dan sesuai untuk barangan hantaran perkahwinan,” katanya.

Malah produk yang dihasilkan itu dijamin dari aspek ketahanan kerana bahannya berkualiti dan dihasilkan penuh ketelitian.

“Jika diteliti setiap produk ini jelas ia membawa perlambangan menarik dengan 1,001 nilai estetika. Justeru tidak hairanlah kami menerima sambutan di luar dugaan bukan saja dalam kalangan penduduk sekitar, malah dari luar termasuk Lembah Klang,” katanya.

Pada masa sama produk terbabit turut dipamerkan di galeri jabatan penjara seluruh negara dan orang ramai boleh melihat atau mendapatkannya di situ.

Kemahiran dimiliki banduan sepanjang berada di penjara memberi ruang kepada mereka membina kehidupan baru dan masa depan lebih baik sebaik keluar.

“Melalui kemahiran itu, mereka boleh mencari kerja atau mengeluarkan produk sendiri apabila dibebaskan selain turut diberikan sijil kemahiran sebagai pengiktirafan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:01 AM