AKSI penuh perasaan daripada Ameng ketika tampil pada Program Sayembara Genta Puisi 2014.
PERSEMBAHAN Ameng diiringi oleh bekas pemain gitar SYJ, Zamri Shafie.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Bergelar penghuni tirai besi serta berdepan pandangan serong masyarakat terhadapnya langsung tidak mematahkan semangat Wan Aminuddin Wan Ismail, 46, atau Ameng Spring untuk menghasilkan album terbaru berjudul 3 Penjuru.

Menariknya, Ameng juga mencipta sejarah tersendiri apabila album yang memuatkan enam lagu ciptaannya di bawah label Orange Music ini dirakam sepenuhnya di Penjara Kluang dan bakal disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

"Saya dapat kerjasama penuh daripada Jabatan Penjara yang menyediakan tempat yang sesuai untuk dijadikan studio sementara. Peralatan pula dibawa daripada Kuala Lumpur," katanya ditemui ketika muncul sebagai artis undangan Program Sayembara Genta Puisi 2014 anjuran Jabatan Penjara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Album terbitan Lan Laga ini mengambil masa rakaman selama sebulan. Ia turut diterbitkan dalam bentuk VCD karaoke yang diarahkan Roslan Ramli.

"Lagu-lagu ini ialah Jalan Pulang, Musnah, Inilah Rahsia Dia, Kasih Yang Tersurat, Tirai Keinsafan dan sebuah lagu campuran bahasa Melayu dan Inggeris berjudul We Are For You.

"Saya beruntung kerana Jabatan Penjara memberikan kerjasama yang baik kerana kata mereka ini adalah salah satu daripada aspek pemulihan bersesuaian untuk banduan.

"Lagu yang ditampilkan pula bermesej keinsafan. Saya tak dikenakan syarat tertentu sebaliknya diberikan sokongan penuh untuk menghasilkan album ini.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar, Mat Rashid dan Mahathir dari Seksyen Pemulihan dan Rawatan Penjara Kluang serta seluruh kakitangan Penjara Kluang kerana membantu saya mencapai impian ini," katanya.

Jadi pakar motivasi

Ameng yang popular menerusi lagu Sampai Hati dan Bourgenvilla ini sudah menjalani hukuman penjara tiga tahun daripada tempoh sebenar lapan tahun yang akan tamat pada 14 Julai 2016.

Ameng yang kelihatan semakin berisi berkata, dia kini bertemu kerjaya baru iaitu menyampaikan mesej dari penjara kepada pelawat yang melawat mereka serta menyampaikan ceramah berkenaan bahaya dadah.

"Selain itu saya juga menyampaikan mesej kepada sekolah dan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Boleh dikatakan saya sekarang belajar jadi pakar motivasi.

"Saya kerap diundang ke sekolah terutama pada musim cuti sekolah. Apa yang dibuat adalah ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Saya berkongsi pengalaman dilalui dan boleh dikatakan semua yang hadir berpuas hati.

"Dengan status sebagai artis sebelum ini dan pengalaman yang dilalui, senanglah sikit untuk tarik masyarakat mendengar apa yang disampaikan. Saya pernah diundang untuk berkongsi pengalaman dalam sebuah program bual bicara di TV3 tetapi malangnya tak berpeluang kerana ada jemputan lain," katanya yang tetap ramah seperti dulu.

Reda menerima ketentuan Allah terhadapnya, Ameng mengakui mendapat beberapa kelebihan yang sukar diperolehi di luar apabila menjalani pemulihan di dalam penjara.

"Yang pertamanya saya dapat mencipta lagu sendiri dan berjaya menghasilkan lebih 30 lagu setakat ini. Saya ada banyak masa untuk itu. Keduanya saya dapat memperbetulkan semula bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang sudah lama terabai tanpa sebarang gangguan.

"Ketiga insya-Allah apabila keluar dari penjara nanti saya berhasrat nak beralih arah kepada bidang motivasi selain menyanyi. Saya akan ceritakan semua pengalaman awal saya bagaimana boleh terjebak dengan dadah.

"Impian saya apabila dibebaskan ialah nak menghasilkan album nyanyian dan album bacaan al-Quran serta menerbitkan buku pengalaman saya daripada orang biasa sehinggalah bergelar artis dan melalui situasi ini," katanya.

Menurutnya, memang ramai banduan yang tidak berani berdepan khalayak ramai apabila dibebaskan kerana trauma dengan pandangan serong terhadap mereka.

"Saya sendiri tidak lari daripada sifat itu tapi saya kena berani menghadapi kenyataan. Jangan lari daripada masalah kerana ini adalah putaran hidup kita. Alhamdulillah, keluarga juga boleh terima saya kembali kerana ini kesalahan pertama dan jangan mengulanginya lagi.

"Saya juga gembira kerana dibenarkan menyertai pelbagai program anjuran Jabatan Penjara iaitu pertandingan mencipta puisi, tilawah al-Quran, lagu patriotik, lagu dan nasyid serta pernah beberapa kali memenangi pertandingan itu.

"Saya sudah ikuti semua program sejak 2011. Untuk Program Sayembara Genta Puisi 2014 saya tak dibenarkan ambil bahagian kerana ada syarat banduan yang sudah ada album tak dibenarkan bertanding," katanya bergurau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:03 AM