Emir menunjukkan poster Pertandingan Sorakan Semangat sempena Le Tour de Langkawai 2016. Foto STR/FAIZ ANUAR

Shah Alam: Pasukan benua dari rantau Asia dijangka mencuri tumpuan meraih kemenangan pada jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 - dijadual berlangsung dari 24 Februari hingga 2 Mac.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata antara pasukan yang dilihat mampu mencipta nama pada perlumbaan itu ialah Terengganu Cycling Team (TSG) dari Malaysia dan KSPO dari Korea Selatan.

"Saya berpendapat TSG kali ini akan memberi cabaran paling sengit kerana sebelum ini, mereka pernah meraih kejayaan podium.

"Begitu juga KSPO yang merupakan antara pasukan terbaik Asia. Mereka sudah berada di Malaysia untuk menjalani latihan kerana mereka mahu menang pada LTdL kali ini," katanya pada sidang media selepas memperkenalkan perarakan kereta penaja untuk LTdL 2016 di sini, hari ini.

Perarakan kereta penaja berwarna warni itu bakal memberi cenderamata kepada orang ramai di sepanjang laluan perlumbaan.

Mengulas lanjut, Emir berkata jelajah edisi ke-21 itu turut menarik minat tiga pasukan World Tour iaitu Astana, Tinkoff dan Dimension Data.

"Saya melihat pasukan Tinkoff (Rusia) mampu memberi impak yang besar pada kejohanan kali ini dengan penyertaan pelumba muda mereka seperti Erik Baska dan Michael Kolar. Mereka pasti membuat pencapaian besar kali ini," katanya.

Selain pasukan benua dan World Tour turut menyertai perlumbaan itu ialah pasukan Pro Benua seperti One Pro Cycling, Roth dan Funvic-Soul-Carrefour.

Terdahulu, Emir memperkenalkan lima syarikat yang membuat penajaan untuk perarakan kereta pada LTdL 2016 iaitu Farzuan Richglobal Sdn Bhd (K-Colly), LA Genius Sdn Bhd, Rakyat Management Services Sdn Bhd (Ar-Rahnu x'Change), NSK Trade City Sdn Bhd dan Tourism Melaka.

LTdL 2016 menampilkan 22 pasukan termasuk tiga berstatus World Tour yang akan bersaing dalam lapan peringkat perlumbaan meliputi jarak lebih 1,100 kilometer. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 8:11 PM
Skip this ad x