Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Sebanyak 188 unit silinder tong cecair Petroleum (LPG) dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dipercayai digunakan untuk kegiatan pemindahan gas di rumah di SS 2/48, di sini, dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub berkata, serbuan dijalankan oleh 10 pegawai dan anggota.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bahagian hadapan rumah terbabit dijadikan tempat menyimpan silinder tong LPG.

"Siasatan awal mendapati berlaku kegiatan 'Discanting' (pemindahan gas) menggunakan paip di mana terdapat 188 unit silinder tong LPG membabitkan saiz 12 kilogram (Kg), 14 kg dan 50 kg.

"Ketika serbuan terdapat tiga suspek di rumah berkenaan membabitkan suami isteri berusia 68 tahun dan 77 tahun serta seorang anak lelaki berusia 30-an.

"Siasatan juga mendapati lesen menyimpan barang kawalan terbabit adalah milik anak lelakinya. Bagaimanapun, mereka ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati melakukan kegiatan pemindahan gas," katanya.

Menurut Abdul Rosik, KPDNKK turut merampas tong gas dan peralatan melakukan pemindahan berkenaan bersama sebuah lori 3 tan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut peraturan 12A Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melakukan kegiatan pemindahan gas tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 5:29 PM
PERALATAN dan tong LPG yang digunakan dalam proses pemindahan gas. FOTO Norizuan Shamsuddin