SUSPEK yang diburu polis.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Polis memburu pemandu lelaki dipercayai bertanggungjawab melarikan wang tunai sejumlah RM80,000 milik majikanya.

Suspek Amli Amjan, 31, dipercayai melarikan wang berkenaan di Lorong Pokok Seraya 5, Kolombong, di sini, 8.15 pagi, 4 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika kejadian majikannya berusia 34 tahun bersama suspek menaiki kenderaan dengan membawa wang tunai RM80,000 yang disimpan di dalam beg bimbit bergerak dari rumahnya ke pejabat di Kolombong Neutron Point, Kolombong, di sini.

"Apabila tiba di Luyang, majikanya (mangsa) bersarapan dengan seorang rakannya di restoran dan meminta supaya pemandunya terus ke pejabat bersama wang tunai berkenaan.

"Sebaik selesai sarapan, mangsa kemudian ke pejabatnya dan mendapati beg bimbit yang dibawa pemandunya tiada di pejabat lalu menghubungi namun gagal," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian pergi ke rumah pemandu dan kenderaannya berada di rumah itu lalu pemeriksaan dilakukan dan beg yang mengandungi wang tunai RM80,000 tiada dan dipercayai dilarikan oleh pemandunya.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Luyang dan gerakan mengesan suspek masih dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu Inspektor Ahmad Zulfairie Ismail di talian 013-2618487," katanya.

Caption:

1. WAJAH suspek yang diburu polis selepas dipercayai bertanggungjawab melarikawang tunai RM80,000 milik majikanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 2:45 PM