Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan pemandu teksi, Chew Siang Chee daripada pertuduhan memiliki pistol dan peluru yang didakwa mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi.

Panel tiga hakim yang dipengerusi Tan Sri Md Raus Sharif, membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Chew, 47, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara sepuluh tahun yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Md Raus berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam perayu bahawa pertuduhan terhadap tertuduh gagal dibuktikan oleh pihak responden.

Panel turut disertai Datuk G Varghese dan Datuk Zamani A Rahim.

Pada 17 Februari 2014, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan terhadap Chew bagi kesalahan memiliki pistol.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi kesalahan memiliki peluru hidup.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Peti Surat B-15-2, Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Off Jalan Kuchai Lama, Brickfields, pada 5.45 petang, 3 Ogos 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 1:42 PM