CHING Chen En menerusi ‘Light.Time.Memory’ memenangi hadiah pertama kategori minyak/akrilik.
YONG Kang Yun (kanan) memenangi hadiah pertama kategori warna air menerusi ‘Crossing Between New and Old’ bergambar kenangan bersama Ketua Pegawai Kumpulan Kewangan Tanjong plc Gerard Nathan.
ELIZABETH (kiri) bersama Presiden Badan Warisan Malaysia Ar Laurence Loh (kanan) menapis karya seni ketika sesi penghakiman.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Bertemakan kekayaan warisan Malaysia, artis muda negara berjaya mengagumkan juri menerusi bakat seni yang dimiliki dalam Pertandingan Seni Warisan Kebangsaan 2015.

Pertandingan Seni Tanjong Heritage ke-15 disertai 1,314 peserta, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah institusi yang mengambil bahagian juga meningkat daripada 17 pada tahun lalu kepada 21.

Ini menyebabkan panel hakim berdepan cabaran sukar ketika membuat penilaian dan memilih pemenang yang diketuai pakar bidang seni, pendidikan dan warisan kebudayaan Dr Kim Phaik Lah, Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia Elizabeth Cardosa dan ahli akademik yang juga artis kontemporari Prof Madya Fauzan Omar yang turut dikenali sebagai arkitek pemuliharaan terkemuka di rantau Asia Pasifik dengan memenangi beberapa Anugerah Kebudayaan Asia-Pasifik UNESCO.

Pertandingan seni ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu medium warna air, minyak/akrilik, media campuran, arang/pensel/dakwat dan seni cetak.

Pemenang pertama menerima hadiah wang tunai RM4,000 manakala kedua dan ketiga masing-masing RM3,000 dan RM2,000. Sementara, pemenang hadiah sagu hati membawa pulang RM500.

Hadiah disampaikan Pengerusi Tanjong plc Datuk Robert Cheim kepada 21 bakat muda yang memenangi pertandingan.

“Objektif pertandingan masih kekal sejak pertandingan dimulakan lebih sedekad lalu iaitu mahu memupuk perasaan masyarakat agar cintakan warisan Malaysia.

“Masyarakat seharusnya berbangga kerana tanah air kita dihuni masyarakat berbilang bangsa, agama, budaya dan amalan.

“Lebih daripada sekadar peninggalan sejarah, warisan kita sebahagian identiti penting sebagai rakyat. Sangat penting bagi kita mengambil langkah sewajarnya bagi merai dan memelihara warisan ini,” kata Cheim.

Pada pertandingan itu, Dasein Academy of Art berjaya memenangi lebih separuh daripada 21 hadiah yang ditawarkan. Universiti Sains Malaysia (USM) juga membuktikan mereka pencabar terdekat apabila empat daripada pesertanya memenangi lima hadiah.

Kategori minyak/akrilik dan warna air dianggap paling menonjol dengan jumlah tujuh pemenang setiap satu.

Bagaimanapun, kategori seni cetak tidak mempunyai pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 11:32 AM