PANDELELA sedia kibar cabaran di Rio.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penularan virus Zika di Brazil langsung tidak menjejaskan fokus barisan penerjun negara yang berlepas menyertai Kejohanan Terjun Piala Dunia di Rio awal pagi tadi.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berkata, dia kini sudah bersedia mengibarkan cabaran dan berharap lebih ramai lagi atlet terjun negara berjaya menempah tiket ke Olimpik Rio.

Katanya, latihan pusat di China banyak membantunya dalam persiapan melayakkan diri dalam acara terjun seirama selepas layak menerusi acara 10m platform.

“Virus Zika tidak mengganggu fokus kami dan tidak begitu membimbangkan kerana atlet terjun sudah diberi suntikan.

“Saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam setiap terjunan seterusnya melepasi syarat kelayakan,” katanya yang akan menyertai acara 10 meter platform dan terjun seirama di Piala Dunia nanti.

Skuad terjun negara dijangka menambah bilangan atlet yang layak ke Olimpik dengan Kejohanan Terjun Piala Dunia bermula 19 Februari ini menjadi medan terakhir buat atlet menempah tiket ke Rio.

Mengulas peluang rakan lain untuk layak, Pandelela yang sudah melepasi syarat kelayakan itu berkata, semua atlet dilihat mempunyai peluang jika mereka mampu melakukan terjunan terbaik.

“Untuk layak ke Olimpik kali ini tidak mudah, tidak seperti empat tahun lalu. Kali ini tiada pusingan kelayakan kedua bagi yang gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik.

“Jadi atlet perlu melakukan yang terbaik dalam setiap terjunan,” katanya.

Barisan 10 penerjun membabitkan lapan daripada Program Podium dan dua Program Kita Juara, dijangka berdepan tugas getir.

Untuk layak secara merit ke Olimpik Rio, penerjun negara perlu sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik acara individu dan berada di kelompok lapan terbaik terjun seirama.

Empat penerjun negara sudah mengesahkan tempat ke Olimpik Rio membabitkan Pandelela, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 8:22 AM