PENGAWAL pantai Greece menyambut seorang bayi dari sebuah bot membawa pelarian Syria di luar pantai Lesbos, kelmarin.
AFP

Brussels: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan menghantar kapal perang ke Laut Aegean untuk membantu Turki dan Greece bertindak ke atas rangkaian penjenayah yang menyeludup pendatang dan pelarian ke Eropah.

Langkah itu yang akan dibincangkan buat pertama kali dalam mesyuarat di Brussels bertujuan membantu benua itu menangani krisis pendatang terburuk sejak Perang Dunia Kedua dengan lebih sejuta pencari suaka tiba tahun lalu.

Meskipun rancangan itu masih dibincangkan secara terperinci oleh general NATO, negara anggota berkemungkinan besar menggunakan kapal untuk membantu pasukan pengawal pantai Turki dan Greece serta agensi sempadan Kesatuan Eropah, FRONTEX.

“Ada sindiket penjenayah yang mengeksploitasi golongan yang dalam kesusahan dan ia operasi penyeludupan terancang,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Ash Carter.

Jumlah mereka yang melarikan diri dari peperangan dan masalah ekonomi, khususnya di Asia Barat dan utara Afrika tidak menunjukkan tanda akan berkurangan walaupun pada musim sejuk yang menyukarkan usaha menyeberang laut lebih berbahaya.

Jerman berkata, ia akan mengambil bahagian dalam misi NATO bersama Greece dan Turki sementara Amerika Syarikat menyokong rancangan itu sepenuhnya.

Denmark juga dijangka menyumbangkan kapal, menurut sumber kerajaan Jerman.

“Adalah penting kita bertindak sekarang,” kata Menteri Pertahanan Jerman, Ursula von der Leyen.

Kapal Greece dan Turki akan kekal di perairan masing-masing memandangkan sensitiviti hubungan kedua-dua negara dan pelarian yang diselamatkan oleh kapal NATO akan diserahkan kepada Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:44 AM