Nor Azmi (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Empat individu termasuk suami isteri yang juga anggota Geng Ijan ditahan polis kerana terbabit dengan kegiatan pecah rumah dan menjual barang curi, 2 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, individu terbabit berusia 15 hingga 42 tahun ditahan di bilik hotel bajet di sini yang dijadikan penginapan mereka sejak tujuh bulan lalu.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan melakukan kegiatan pecah rumah sebelum menjualnya dengan harga yang murah.

"Suspek giat melakukan pecah rumah di daerah ini sejak beberapa bulan lalu dan menyewa bilik hotel sejak tujuh bulan lalu.

"Ketika serbuan, polis merampas 10 telefon bimbit, empat utas rantai emas dan satu kad ATM," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua suspek direman selama dua minggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 3:48 PM