KUALA Lumpur janjikan percutian yang menghiburkan.
PELBAGAI aktiviti menarik menanti di Langkawi.
SELAMI budaya dan rasai keenakan makanan yang menyelerakan di Pulau Pinang.
HAYATI tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua dan kepelbagaian tarikan pelancongan mengagumkan di Kota Kinabalu.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina ini pastinya cukup bermakna jika dihabiskan bersama orang tersayang.

Selaras dengan kempen ‘Go Domestic’ Tourism Malaysia, sekarang masa tepat untuk meneroka destinasi menarik di seluruh negara.

Sempena permulaan tahun baru dalam kalendar lunar ini, jom semak senarai destinasi yang boleh dikunjungi.

Kuala Lumpur

Walaupun kota metropolitan ini dikenali dengan bangunan pencakar langit dan pelbagai pusat beli-belah, Kuala Lumpur juga menawarkan percutian budaya yang mengujakan.

Mengambil semangat Tahun Baru Cina, kunjungan ke Jalan Petaling yang lebih dikenali sebagai Chinatown pasti menarik.

Kuil Thean Hou, antara tokong Cina terbesar di Asia Tenggara menawarkan keunikan seni bina tersendiri.

Kerlipan lampu tanglung yang dipasang di jalan utama pada waktu malam menambah kemeriahan perayaan ini.

Langkawi

Turut dikenali sebagai Pulau Legenda, Langkawi sememangnya destinasi percutian yang menawarkan 1,001 keseronokan.

Pantainya memutih, laut terbentang luas dan hutannya yang menghijau cukup mempesona.

Diiktiraf sebagai Geopark oleh UNESCO pada 2007, keindahan alam semula jadi, keharmonian ekologi serta arkeologi, geologi dan kebudayaannya menjadikan Langkawi destinasi percutian yang harus dikunjungi.

Juga jangan lepaskan peluang menaiki kereta kabel ke Gunung Mat Cincang, mengelilingi Pulau Langkawi dengan helikopter, melakukan aktiviti lasak di Skytrex, melihat lukisan kreatif di Muzium 3D, menikmati hidangan lauk pauk kampung menyelerakan dan banyak lagi yang pasti meninggalkan kenangan terindah buat anda.

Berlatar lautan membiru dan keindahan dasar laut Langkawi yang mempesona menjadikan percutian anda lebih bermakna.

Pulau Pinang

Selain pemandangan mempesona, warisan budaya berwarna-warni pelbagai kaum membuatkan Pulau Pinang antara destinasi percutian terbaik di negara ini.

Berkunjung ke sini, pengunjung berpeluang merasai pelbagai juadah menyelerakan sesuai dengan gelaran ‘syurga makanan’ yang diberikan pelancong yang datang ke sini.

Jambatan Pulau Pinang yang ikonik, bandar Georgetown yang bersejarah serta banyak bangunan lama yang dibangunkan sebelum perang menjadikan percutian anda lebih bermakna.

Terokai Pulau Mutiara ini dengan berjalan kaki dan rasai inspirasi daripada seni jalanan yang berwarna-warni dan mural mengagumkan hasil karya pelukis berbakat besar.

Kota Kinabalu

Terletak di kepulauan Borneo yang sememangnya terkenal dengan keindahan lautannya yang membiru, Kota Kinabalu pintu masuk ke Taman Negara Kinabalu yang menjadi lokasi gunung tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu.

Merentas hutan belantara, melihat keunikan dan kepelbagaian flora dan fauna di Taman Negara Banjaran Crocker dan melihat sendiri keindahan bunga terbesar di dunia, Refflesia yang cantik pasti mengujakan.

Untuk percutian perayaan ini, raikan Tahun Baru Cina anda di Kota Kinabalu dengan berjalan-jalan bersama insan tersayang atau keluarga di Gaya Street dan Lintasan Deasoka serta menyelami kepelbagaian budaya dengan persembahan cukup bertenaga.

Mengelilingi bandar raya Kota Kinabalu dengan berkunjung ke Menara Jam Atkinson, Memorial Perang KK, Signal Hill Observatory dan Jeti Jesselton memberi peluang kepada anda me­ngenai bandar yang sebelum ini dikenali dengan nama Jesselton.

Lebih menarik, anda berpeluang melihat satu-satunya bangunan yang terselamat daripada kemusnahan di Jesseltown sewaktu Perang Dunia II dan masih berfungsi iaitu Menara Jam Atkinson.

Mahukan pengisian menarik lagi sempena percutian perayaan di Kota Kinabalu? Menaiki kereta api loko motif wap antik, Borneo Utara Railway pastinya memberikan kenangan terindah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 10:55 AM