Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah mara ke suku akhir Grand Prix (GP) Emas Masters Thailand apabila mengalahkan Rian Swastedian-Apriani Rahayu dari Indonesia semalam.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh mengambil masa 21 minit untuk menang straight set 21-10, 21-8 di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Menanti mereka pada suku akhir hari ini ialah pasangan tuan rumah, Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai yang mengalahkan rakan senegara, Nipitphon Puangpuapech-Jongkolphon Kititharakul 21-12, 21-9.

“Jika mahu memperbaiki kedudukan ranking dunia, kami harus mara ke perlawanan akhir kejohanan ini,” kata Liu Ying ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, walaupun pemain lawan tidak begitu kuat namun mereka bermain mengikut corak permainan dan perancangan sendiri.

“Memang kami mengharapkan trofi pertama untuk tahun ini tapi harus fokus satu demi satu perlawanan yang perlu dihadapi,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Turut mara juara beregu lelaki GP Emas Terbuka India, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mengalahkan pasangan tuan rumah, Inkarat Apisuk-Sutichon Polgul 21-11, 21-17 namun mereka berdepan tugas berat hari ini apabila bertemu pilihan utama dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut mara ke suku akhir selepas mengalahkan Tiara Rosalia Nuraidah-Rizki Amelia Pradipta dari Indonesia 17-21, 21-14, 21-19

Pemain perseorangan negara, Zulfadli Zulkiffli gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas pada pusingan ketiga apabila tumpas kepada pilihan kedua Son Wan Ho dari Korea Selatan 17-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 7:51 AM