NIK Mohd Azwan (tengah) raih tempat kedua raja bukit tahun lalu.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan NSC Myrcon mensasarkan muncul juara kategori Asia pada penampilan kedua mereka dalam siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan bermula 24 Februari ini.

Jurulatih Harnizam Basri berkata sasaran itu realistik berikutan NCS Mycron tidak menyenaraikan pelumba pecut dalam pasukan itu, justeru sukar untuk pelumbanya muncul juara peringkat atau memberi saingan dalam perebutan pakar pecut.

Bagaimanapun siapa yang akan mewakili pasukan itu belum dimuktamadkan dengan pemilihan terakhir akan berlangsung minggu ini.

“Perancangan tahun ini adalah untuk cuba muncul juara Asia selepas pelumba menjalani kem latihan lima minggu di Melbourne.

“Kami tidak memiliki pelumba pecut dan disebabkan itu sasaran lebih kepada berpasukan,” katanya yang menjelaskan dua pelumba akan digugurkan selepas sesi pemilihan selesai.

Katanya pelumba akan melalui sesi pemilihan yang mana mereka akan dibawa menelusuri laluan perlumbaan seperti di Cameron Highlands dan Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pada penampilan pertama mereka tahun lalu kelibat Nik Mohd Azwan Zulkifle mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan di tempat kedua dalam perebutan raja bukit.

Namun kali ini persaingan LTdL dilihat memberi kelebihan kepada pelumba pecut dalam saingan membabitkan 90 peratus laluan landai.

Perlumbaan LTdL akan disertai tiga pasukan World Tour iaitu Astana, Tinkoff dan Dimension Data serta akan melalui beberapa kawasan menarik seperti Pulau Pinang, Cameron Highlands, Kuala Lumpur dan berakhir di Melaka.

Beberapa nama baru dalam pasukan pro benua pula ialah One Pro Cycling, Roth dan Funvic-Soul-Carrefour yang mewakili Amerika Selatan; Unitedhealthcare (Am
erika Utara); Drapac (Oceania); Skydive Dubai (Timur tengah); Androni, Southeast dan Bardiani (Itali); Astana dan Tinkoff (Russia) serta Asia yang diwakili 11 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 7:47 AM