LOKASI kejadian. FOTO fail NSTP
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Guru sekolah agama yang parah ditikam anaknya dengan pisau di Taman Setapak Jaya, kelmarin sudah sedarkan diri tetapi masih dalam pemantauan doktor.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, meskipun mangsa sudah sedarkan diri tetapi dia masih dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, Khariah Hashim, 49, guru Sekolah Rendah al-Amin, Keramat Permai sudah menjalani pembedahan beberapa kali akibat kecederaan di perut dan dahinya dan kini masih dalam keadaan lemah.

"Mangsa sudah sedar tetapi masih dalam ICU untuk pemantauan lanjut. Mangsa masih tidak kuat untuk berbual dan dinasihatkan oleh doktor agar tidak diganggu buat masa ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai operasi menjejaki suspek berusia 21 tahun itu, katanya, pihaknya sudah menggiatkan gerakan mencarinya dan suspek dipercayai masih berada di kawasan Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 7:09 PM