RAVI Chandran (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Polis menahan tiga sekeluarga dan merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 4,577 gram yang dianggarkan bernilai lebih RM228,000 di Taman Gopeng Baru, Gopeng, Jumaat lalu.

Dalam operasi 3.50 petang hasil maklumat orang awam itu, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak menahan suspek berusia 58 tahun dan pemeriksaan di dalam kereta dinaikinya menemui dadah disyaki heroin seberat 4,526.48 gram.

Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, polis kemudiannya menyerbu rumah suspek di taman berkenaan sebelum menemui tiga paket lutsinar dipercayai dadah jenis sama seberat 50.70 gram.

Katanya, isteri serta anak suspek berusia 54 dan 20 tahun yang berada di dalam rumah berkenaan kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek utama kes positif dadah jenis methampetamin dan turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah manakala anak serta isterinya negatif dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Polis percaya suspek mengedar dadah berkenaan di kawasan Gopeng, Kampar dan Ipoh. Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 2:12 PM