Pesawat pengangkut C-130 milik TUDM mendarat cemas di LTAK, akibat masalah teknikal, malam tadi.
Oleh Rudi Affendi Khalik
am@hmetro.com.my


Kuching: Sebuah pesawat pengangkut C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, akibat masalah teknikal, malam tadi.

Sumber berkata, pesawat dari Skuadron 14 terbabit dikesan mengalami gangguan teknikal menyebabkan juruterbangnya terpaksa melakukan pendaratan cemas di LTAK pada 8.40 malam tadi.

Katanya, pesawat itu dalam penerbangan ke Pangkalan TUDM Subang dari Kota Kinabalu.

"Ketika penerbangan, juruterbang mengesan ada gangguan teknikal pada pesawat itu. Berikutan itu, juruterbang mengambil langkah mengikut prosedur keselamatan ditetapkan dengan melakukan pendaratan kecemasan.

"Kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Menurut sumber itu, pesawat berkenaan juga tidak mengalami kerosakan teknikal yang serius dan sedang dalam proses pembaikan oleh jurutera dan juruteknik TUDM.

Difahamkan, empat jentera bomba LTAK bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat Tabuan Jaya dengan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 10:49 PM