Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Batu Pahat: Ikan paus dianggar sepanjang lebih 10 meter yang tersangkut pada lumpur ketika air surut di Pantai Rambah, Pontian, semalam mati terdampar di muara Sungai Sarang Buaya, berhampiran Semerah, dekat sini, petang tadi.

Paus itu ditemui tersangkut di beting lumpur di muara itu oleh nelayan dan penduduk berhampiran kira-kira 4.30 petang tadi.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Batu Pahat, Leftenen Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah, berkata, empat anggota APMM dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan bot peronda sebaik dimaklumkan.

"Setiba di lokasi kejadian, paus itu didapati tersangkut di beting lumpur kawasan muara Sungai Sarang Buaya yang ketika itu air sedang surut.

"Ketika ditemui paus berkenaan masih hidup sebelum anggota APMM dan 15 nelayan cuba membantu menariknya semula ke tengah laut. Bagaimanapun ketika operasi menyelamat sedang dijalankan, paus berkenaan didapati sudah mati akibat kekurangan air.

Menurutnya tindakan lanjut akan dijalankan esok berikutan keadaan semakin gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 9:31 PM
IKAN paus masih hidup ketika ditemui di muara Sungai Sarang Buaya. FOTO ihsan pembaca