Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Shah Alam: Lelaki ditahan polis selepas membuat kecoh dan mengeluarkan kata kesat kepada anggota polis di Balai Polis Seksyen 9 di sini, pagi semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu datang ke balai polis berkenaan pada 6.25 pagi bersama seorang lagi rakannya kerana tidak berpuas hati dengan penahanan adiknya kerana memiliki ganja.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek kemudian pergi ke pejabat pertanyaan balai polis sebelum membuat bising.

Katanya, anggota polis yang bertugas kemudian menasihatkan suspek supaya tidak bertindak sedemikian namun suspek semakin agresif selain mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota berkenaan.

"Suspek kemudiannya ditahan polis kerana tindakannya itu dan hasil semakan mendapati lelaki terbabit kini dalam tempoh pengawasan polis di Kangar, Perlis selama tiga tahun," katanya.

Shafien berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 4:45 PM