BERNAMA

Dungun: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu memperuntukkan RM20,000 untuk membina benteng beg pasir di tebing jalan Pantai Sura yang runtuh akibat dipukul ombak dua hari lalu.

Pegawai Pembangunan Dungun Datuk Din Adam berkata pembinaan benteng itu akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu sebagai langkah awal mengelak runtuhan semakin besar.

“Persetujuan dicapai antara JPS, Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu untuk mengambil langkah segera membina benteng menggunakan beg pasir buat sementara bagi memastikan tidak berlaku runtuhan kedua yang lebih teruk.

"Kerja pembinaan benteng sementara itu dimulakan sejak malam tadi kerana kita khuatir kalau langkah awal tak dibuat, mungkin jalan juga boleh runtuh sebab air pasang dan ombak besar," katanya di sini, hari ini.

Din berkata ECER mengambil inisiatif bagi membina 10 benteng hakisan di sepanjang tujuh kilometer jalan pantai di daerah itu bermula dari Pantai Teluk Lipat hingga ke Pantai Teluk Gadung dan sehingga kini tiga daripadanya siap dibina.

Tebing sepanjang 100 meter di kawasan Pantai Sura runtuh akibat dipukul ombak sehingga membentuk gaung sedalam lima meter dan jalan berhampiran ditutup

bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Fenomena air pasang dan ombak besar yang berlaku sejak dua hari lepas turut mengakibatkan hakisan semakin menghampiri jalan raya di sepanjang tujuh kilometer di pantai berkenaan dan banyak pokok rhu yang menjadi penahan ombak turut musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 4:32 PM
Jalan utama Pantai Teluk Lipat ditutup kepada semua lalu lintas bagi kerja baik pulih benteng. - Foto ROZAINAH ZAKARIA