Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sekurang-kurangya tujuh rumah musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan, Jalan Kubur,Pantai Dalam di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, api dipercayai bermula akibat litar pintas di satu daripada tujuh rumah itu sebelum merebak ke beberapa rumah berhampiran.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa kerana mangsa sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12 tengah hari.

"Usaha mengawal dan memadam api kini sedang dijalankan bagi mengelakkan api merebak ke rumah berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 2:59 PM
ANTARA rumah yang terbakar. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor