Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Nibong Tebal: "Kalau sudah excited (teruja) terkeluarlah ungkapan ‘I love you" itu. Saya tidak merancang pun," kata Shaheizy Sam, 34, selepas sah menjadi suami Syatilla Melvin, 25.

Dia melaungkan ungkapan cinta yang bermaksud saya sayang kamu itu sebaik sahaja melafazkan akad nikah di hadapan jurunikah.

"Saya bersyukur sebab segalanya dipermudahkan, rasa macam senang saja.

"Semalam (bertunang) saya macam baru lepas habis sekolah. Hari ini dah kahwin. Sudah jodoh, Alhamdulillah," katanya.

Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad bergelar suami Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin hanya dengan sekali lafaz.

Sam berkata, dia juga berjaya membuat isterinya menangis apabila membuat gimik pengsan di pelamin.

"Saya berjaya buat dia menangis, kejutan untuk saya raikan hari jadi dia," katanya.

Sam rebah di pelamin ketika sesi bergambar dan Syatilla kelihatan panik, namun ia hanya gimik kejutan hari lahir Syatilla.

Syatilla berkata, dia panik apabila melihat Sam yang baru menjadi suaminya pengsan.

"Saya terus panik, ada rasa macam nak pitam juga lihat suami kita pitam kan, sebab dia tidak pernah pengsan.

"Hari ini majlis nikah kami, sudah pasti saya takut, tapi saya tidak terfikir yang dia akan buat kejutan untuk saya," katanya.

Bagaimanapun, dia lega apabila Sam bangun dan menyanyikan lagu hari jadi untuknya.

Mengenai perkahwinan dengan pelakon popular itu, Syatilla bersyukur kerana selamat menjadi isteri Sam.

"Selepas akad nikah ini dan saya sah bergelar isteri dia (Sam). Saya rasa sudah tiada apa-apa lagi untuk orang lain memperkatakan perkara negatif mengenai kami.

"Saya bersyukur hubungan kami selama enam tahun dikukuhkan dengan ikatan perkahwinan ini," katanya.

Pasangan ini selamat bernikah di rumah keluarga Syatilla di Bukit Jawi Golf Villa pada jam 9 malam tadi.

Mereka akan diraikan dalam majlis resepsi di Bukit Jawi Golf Resort tengah hari ini (Selasa)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 12:08 AM
Gaya pengantin baru. FOTO Danial Saad