Zamihan tidak dapat hadir untuk berdebat pada 10 Februari kerana ada program di Penjara Machang, Kelantan. FOTO Hafiz Sohaimi
Oleh Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al- Ghari akan berbincang dengan Setiausaha Sulit Kanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai mekanisme debat dengan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, malam ini.

Beliau berkata, debat yang dijadualkan pada 10 Februari depan sebenarnya tidak mendapat persetujuannya sebelum ia menjadi ‘viral’ apabila dia menulis di akaun Facebooknya tidak dapat hadir ke debat berkenaan.

"Malam ini saya akan bincang dengan Setiausaha (Sulit Kanan) Shahidan mengenai mekanisme debat.

"Untuk debat yang dijadualkan pada 10 Februari saya tidak hadir kerana ada program di Penjara Machang (Kelantan)," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Training of Trainer Bahaya Militan IS di Saloma Bistro, di sini, petang tadi.

Zamihan berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berdebat dengan Asri pada 10 Februari ini.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkannya agar debat berkenaan diadakan secara tertutup.

"Maknanya, ahli akademik, agamawan saja yang hadir. Kita tidak mahu mencetuskan perbalahan yang merugikan umat Islam, kerana akan menimbulkan persepsi negatif terhadap umat Islam," katanya.

Sebelum ini Zamihan pada 4 Februari lalu mendakwa Asri menuduhnya mempengaruhi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang melarang mufti itu daripada berceramah di Johor.

Zamihan kemudiannya mencabar Asri untuk berdebat dan menyatakan kesedian 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selain menuntut Asri meletak jawatan sebagai mufti sekiranya kalah dalam debat berkenaan.

Shahidan bertindak mengatur debat antara Zamihan dan Asri pada 10 Februari sebelum Zamihan menulis di Facebooknya dia tidak dapat hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 7:37 PM