FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Keluarga Diraja Johor berkenan mengunjungi rumah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong di Taman Setia Tropika di sini, sempena Tahun Baru Cina, hari ini.

Sultan Ibrahim tiba di rumah Tee kira-kira 10.20 pagi bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam.

Turut berangkat putera dan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Ketibaan Kerabat Diraja Johor itu disambut dengan tarian singa dan tarian naga dengan iringan paluan gendang sebelum mereka bergambar kenangan bersama Tee dan isteri, Datin Lee Choon Guek serta keluarga dan saudara mara Tee.

Dalam kunjungan lebih satu jam itu, baginda dan keluarga Diraja turut menggaul yee sang sebelum bersantap di kediaman berkenaan sambil berbual mesra.

Sebelum meninggalkan kediaman Tee kira-kira 11.40 pagi, baginda sempat merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina buat semua rakyat Johor yang menyambutnya.

"Kepada semua Bangsa Johor, keturunan Cina, saya ucapkan Selamat Tahun Baru, Gong Xi Fa Chai," titahnya.

Sementara itu, Tee berkata, beliau amat berterima kasih kepada Keluarga Diraja Johor dan mengatakan bahawa kunjungan itu yang pertama dan menjadi sejarah tersendiri kepada keluarganya.

"Ini membuktikan Tuanku seorang yang prihatin. Sebelum ini, dalam satu majlis di Istana Bukit Serene, baginda ada memaklumkan ingin ke rumah saya pada Tahun Baru Cina dan baginda juga mahu hadir pada program Chingay dan Chap Goh Mei.

"Ini bukti konsep bangsa Johor, kita hormat menghormati semua bangsa di Johor. Kita mahu Johor menjadi satu negeri yang bermoral, harmoni, bahagia dan sederhana," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Tee berkata, dalam kunjungan itu, Sultan Ibrahim turut berbincang mengenai pembangunan Johor, budaya dan adat masyarakat Cina.

Terdahulu dalam laman Facebook (FB) rasminya, Sultan Johor turut bertitah, semoga tahun baru ini memberi kebaikan, kebahagian serta kemakmuran kepada bangsa Johor.

"Moga kita sentiasa dirahmati dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kemakmuran.

"Saya juga ingin mengingatkan Bangsa Johor bahawa muafakat itu berkat, maka, marilah kita terus saling menghormati di antara satu sama lain, tanpa mengira kaum, agama atau budaya." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 1:52 PM