AFP

Madrid: Fernando Torres (gambar) menjaringkan gol ke-100 bersama Atletico Madrid ketika Los Rojiblancos bangkit daripada ketinggalan sebelum menyamakan kedudukan mata dengan Barcelona di puncak carta La Liga Sepanyol berikutan kemenangan 3-1 ke atas Eibar, awal pagi semalam.

Pemain pertahanan Jose Maria Gimenez dan Saul Niguez menanduk masuk sepakan sudut selepas Keko melakukan kejutan apabila meletakkan Eibar di depan sebelum Torres menamatkan kemarau gol selama lima bulan pada masa kecederaan.

Kemenangan pertama Atletico dalam lima perlawanan membantu mereka mendahului empat mata di depan pasukan tangga ketiga Real Madrid.

“Untuk menjaringkan 100 gol buat kelab ini sesuatu yang akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya,” kata Torres.

“Ia satu saat penting dalam kehidupannya sebagai pemain di kelab yang istimewa buatnya,” ujar bos Atletico Diego Simeone.

Atletico dikejutkan seminit selepas babak kedua berlangsung apabila Saul, yang menjadi bidan terjun di pertahanan tengah, tergelincir sekali gus memberi peluang kepada Sergi Enrich untuk mengumpan kepada Keko yang tenang merembat bola melepasi jangkauan Jan Oblak bagi membuka jaringan.

Gol itu mengejutkan Atletico dan mereka bangkit dengan dua gol dalam tempoh lapan minit.

Pertamanya, Gimenez menanduk masuk berdekatan gol selepas menyambut sepakan sudut Koke bagi gol pertamanya musim ini.

Daripada satu lagi sepakan sukut berbahaya Koke, Saul yang tidak dikawal mudah menanduk masuk sekalipun dicabar Abel Riesgo.

Torres menerima tepukan gemuruh apabila dia dimasukkan pada 15 minit terakhir ketika masa depannya tidak menentu kerana Atletico tidak boleh membelinya secara tetap dari AC Milan berikutan larangan perpindahan.

Namun bekas pemain Liverpool dan Chelsea itu akhirnya menemui jaringan buat kali pertama sejak kedua-dua pasukan bertemu September lalu apabila hantaran leret Luciano Vietto disambutnya dengan satu tampanan mudah ke pintu gol yang ternganga pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:44 AM