Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Lelaki berusia 57 tahun menjadi mangsa terbaru demam denggi di Terengganu apabila disahkan meninggal dunia jam 8.10 pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, mangsa berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat demam denggi berdarah.

Menurutnya, mangsa yang tinggal sementara di Rusila kerana bekerja sebagai pengarah projek di Kampung Rusila, Marang, mengalami demam teruk, sesak nafas dan pendarahan pada gusi serta paru-paru.

"Ketika sampai di hospital Jumaat lalu, keadaan mangsa sangat lemah sebelum keadaannya semakin teruk dan disahkan meninggal dunia jam 8.10 pagi semalam.

"Sehingga semalam, lapan kematian akibat denggi dicatatkan di Terengganu dengan Rusila menjadi kawasan wabak denggi ketika ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:58 PM