Banduan yang melarikan diri dari Penjara Marang diiring anggota polis untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman. - Foto Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Marang: Banduan yang melarikan diri dari Penjara Marang sejak 24 Januari lalu, berjaya ditahan petang semalam di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payong, di sini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, banduan terbabit ditahan kira-kira jam 3.20 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki yang juga ahli keluarga banduan terbabit mengenai kehadirannya di kawasan berkenaan.

"Ketika ditemui, banduan terbabit berada dalam keadaan lemah dan siasatan awal mendapati dia dipercayai cuba mendapatkan bantuan ahli keluarga tetapi lelaki terbabit mengambil keputusan menghubungi polis.

"Banduan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marang untuk siasatan lanjut dan kita turut mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai membantu banduan berkenaan sepanjang dia melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, pagi tadi.

Banduan itu yang menjalani hukuman enam bulan penjara bermula 3 Januari lalu kerana kesalahan mencuri dalam bangunan, melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang tandas selepas menggunakan helah mahu ke tandas ketika kelas agama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 1:06 PM