Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Pekerja kilang cemas apabila tangan kirinya tersepit pada mesin pencetak dalam kejadian di kilang pencetak di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa yang juga warga Myanmar berusia 20-an dikatakan sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Ridhuan, berkata satu jentera daripada BBP Ayer Keroh dan EMRS bersama lima anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.41 petang.

"Hampir kesemua jari tangan kiri mangsa tersepit di penggelek mesin cetak berkenaan menyebabkannya remuk.

"Selepas 30 minit bomba mengeluarkan tangan mangsa dan dia diberi rawatan segera oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 7:34 PM