Azlan (kiri) meninjau barang yang dijual sambil mendengar taklimat Ashdown (kanan).

Kangar: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pengendali pasar raya besar Giant melebarkan sayapnya dengan membuka rangkaian pasar raya terbarunya di negeri ini membabitkan pelaburan RM35.3 juta.

Pengarah Serantau Malaysia dan Bruneinya, Datuk Tim Ashdown berkata, pasar raya besar itu dibina berdasarkan cita rasa dan kehendak pengguna dengan tawaran pelbagai kemudahan bagi memberi pengalaman baru membeli-belah dan gaya hidup.

“Pasar Raya Giant Kangar menempatkan 36 kedai termasuk kios dan mempunyai lebih 253 parkir.

“Ia dilengkapi premis rangkaian makanan segera, kawasan permainan kanak-kanak dan medan selera yang menawarkan pilihan hidangan tempatan,” katanya selepas perasmian Pasar Raya Giant Kangar oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, di sini, semalam.

Menurutnya, menerusi pembukaan Pasar Raya Giant di utara Semenanjung, 1,700 orang diambil berkhidmat di semua cawangannya dan pembukaan pasar raya terbaru ini membuka 400 peluang pekerjaan baru,” katanya.

Menurutnya, pembukaan pasar raya itu memberi peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mempamerkan produk mereka kepada pengguna, sekali gus menjadi platform dalam mempromosikan produk dan jenama masing-masing.

“Kami mempunyai lebih 200 usahawan IKS termasuk dari Perlis yang membekalkan produk kepada pasar raya ini dengan lebih 4,000 barangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:03 AM