Dr Mohd Zaqrul (kiri) dan Dr Syariz. FOTO Amir Abd Hamid
Oleh Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Istanbul, Turki: "Sebelum ini sudah dua kali saya ikut misi kemanusiaan ke Gaza.

"Bagaimanapun, misi kali ini dijangka lebih mencabar," kata Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi.

Pakar pediatrik Hospital Pakar Senawang berusia 39 tahun itu adalah seorang daripada 17 sukarelawan Muslim Care Malaysia bagi misi bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria berhampiran sempadan negara ini.

Menurutnya, di Gaza walaupun terkepung dengan rejim Zionis, tiada masalah dari segi bekalan makanan.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, dia pasti akan teringatkan anak-anaknya sebaik bertemu dengan pelarian kanak-kanak kelak.

Delegasi sukarelawan Muslim Care itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 4.30 waktu tempatan dan transit lapan jam sebelum ke Reyhanli, Hatay iaitu kawasan yang menjadi tumpuan pelarian Syria, hari ini.

"Kami membawa susu bayi kira-kira 100 kilogram (kg) dan ubat-ubatan 100 kg disumbangkan Syarikat Kotra Pharma.

"Antara ubat-ubatan dibawa adalah ubat demam, selsema, batuk, multivitamin dan antibiotik," kata Dr Mohd Zaqrul Razmal yang mengakui ikut misi sukarelawan supaya dapat muhasabah diri.

Seorang lagi pegawai perubatan, Dr Syariz Izry Sehat, 40, berkata, dia bersedia sekiranya situasi pelarian memerlukannya melakukan pembedahan.

Pakar bedah pediatrik Hospital Prince Court Medical Centre, Hospital Pakar An-Nur Bangi dan Darul Ehsan Medical Centre itu berkata, beliau akan memberikan khidmat sepenuh hati berdasarkan kepakaran dimilikinya.

Sukarelawan Muslim Care akan menyampaikan dan memberikan khidmat bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria di Reyhanli, Idlib dan Ghutoh sehingga 10 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 2:02 PM