Bot yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Oleh Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia 20 hingga 45 tahun dalam serbuan di pesisir pantai Bandar Penawar Kota Tinggi Johor kira-kira 2 petang semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, PATI berkenaan termasuk lima wanita dipercayai mahu menyusup keluar dari laluan tidak diwartakan.

Katanya, pihaknya bertindak merampas sebuah bot pancung dilengkapi tiga enjin dengan 200 kuasa kuda setiap satu yang dianggarkan bernilai RM105,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) dan Seksyen 5 (3) dan 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen yang sah selain cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Bot dirampas dan mereka disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 12:22 PM