ROSLI memakaikan jaket keselamatan kepada penunggang motosikal sambil diperhatikan oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, Datuk Muhammad Pehemi Yusof (kiri). FOTO Syahirah Abdullah
Zatul Iffah Zolkiply
am@hmetro.com.my


Marang: Polis tidak menolak kemungkinan ada individu melindungi banduan yang melarikan diri daripada Penjara Marang sejak 24 Januari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, agak mustahil banduan yang dikenali sebagai Mohd Nazri Mat Nasir, 23, dapat hidup tanpa makan dan minum dalam tempoh yang agak lama jika tiada yang melindunginya.

"Sehingga kini, kita masih mengesan banduan yang dipercayai masih berada di negeri ini dan percaya dia tidak pergi jauh dari daerah ini.

"Paling jauh pun, mungkin dia berada sama ada di Dungun dan Marang," katanya yang ditemui dalam sidang media selepas Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2016 Op Selamat 8/2016 Peringkat Negeri Terengganu di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kelulut) Marang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang banduan menggunakan helah untuk ke tandas sebelum meloloskan diri ketika mengikuti kelas agama.

Mohd Nazri yang menjalani hukuman enam bulan penjara bermula 3 Jan lalu kerana kesalahan mencuri dalam bangunan dipercayai melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang tandas berkenaan.

FOTO Syahirah Abdullah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 9:59 PM