AZIZ menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohd Idris Sulaiman
Mohd Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my


Seri Iskandar : Taktik lelaki menyembunyikan dadah heroin, syabu dan pil Eramin 5 di dalam tin kain pelikat gagal mengaburi mata pihak polis apabila dia ditahan di rumahnya dalam serbuan polis di Kampung Balun Bidai, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hasan berkata, suspek berusia 50an ditahan di hadapan rumahnya pada 12.45 tengah hari Selasa lalu selepas polis mendapat maklumat awam dan melakukan risikan.

"Hasil serbuan pihak polis menemui satu bekas tin dan di dalamnya terdapat enam paket plastik disyaki heroin seberat 255 gram, dua paket plastik disyaki syabu seberat 10.86 gram dan tiga foil aluminium dengan setiap satu berisi 10 biji pil Eramin 5 seberat 8.26 gram.

"Harga pasaran bagi dadah berkenaan ialah sekitar RM8,000 dan kita percaya suspek turut mengedar dadah di sekitar Kampung Gajah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Aziz berkata, siasatan mendapati suspek turut mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa kes lain yang boleh dikaitkan dengan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 9:53 PM