SYED Hamid melalui kaunter tiket sambil diiringi Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam (dua kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz (tengah)di Stesen LRT Masjid Jamek. FOTO Surianie Mohd Hanif
Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merekodkan satu lagi kejayaan apabila jumlah penumpang harian melepasi paras sejuta apabila bilangan itu kini mencecah 1,001,800 orang.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, angka itu adalah gabungan purata bilangan penumpang harian membabitkan Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, laluan monorel dan perkhidmatan bas Rapid.

Perkhidmatan rel menyumbang 460,072 penumpang dengan laluan LRT Kelana Jaya mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 265,000 orang sehari.

"Prasarana menjangkakan bilangan penumpang harian mencecah 1.5 juta sehari menjelang 2017 susulan penambahan rel dan beberapa laluan baru selain pembukaan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang Disember ini," katanya yang mengumumkan kejayaan itu dalam sidang media di Stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata, kenaikan tambang perkhidmatan itu baru-baru ini ternyata tidak memberi impak terhadap jumlah penumpang sebaliknya terdapat pertambahan yang konsisten.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:09 PM