ANGGOTA penguatkuasa SSM memeriksa dokumen warga asing yang berniaga di sekitar Jalan Petaling ketika operasi. FOTO Yazit Razali
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tujuh puluh sembilan kompaun dikeluarkan, manakala tiga warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Jalan Silang (Jalan Tun Tan Siew Sin), di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zulkifli Muhammad berkata, kompaun dan tangkapan dibuat setakat operasi yang dijalankan 11.30 pagi hingga 1 petang ini.

"Pemeriksaan masih berjalan dan pihak kami menjangkakan lebih banyak kompaun akan dikeluarkan serta penyitaan selepas operasi terhadap kira-kira 300 premis perniagaan termasuk 73 premis berdaftar milik warga asing berakhir.

"Setakat ini, lapan kompaun dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), 36 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan 35 oleh DBKL membabitkan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 1986," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, warga asing yang ditahan masing-masing dua wanita Nepal dan seorang lelaki warganegara India membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 2:47 PM