Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Norul Awatif
Romliam@hmetro.com.my

Alor Setar: Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar sedia memberi laluan kepada muka baharu untuk mengemudi Helang Merah berikutan pertukaran Menteri Besar baharu berkuatkuasa hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Belia dan Sukan berkata, pihaknya akan mengadakan pelantikan baru untuk presiden KFA yang kebiasaannya dipegang Menteri Besar.

Katanya, kongres berkenaan dijadual diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu hingga dua minggu akan datang, termasuk melakukan pembaharuan struktur dalam KFA.

"Saya bersedia sekiranya digugurkan jawatan dalam KFA kerana mahu memberi laluan kepada memberi muka baru untuk menerajui pasukan bola sepak Kedah, namun berharap kepimpinan baru nanti mampu mengangkat martabat sukan bola sepak negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mengangkat Sumpah Menteri Besar Baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Balai Penghadapan Lama, Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Katanya, beliau mengakui akan memberi sokongan terhadap kepimpinan baru yang diterajui Ahmad Bashah termasuk berkhidmat kepada rakyat dalam DUN Jitra.

"Saya belum pasti sama ada akan dikekalkan atau tidak dalam barisan EXCO negeri, namun akan terima segala keputusan yang dibuat kepimpinan baru negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 11:43 AM