Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Johor Bahru: Hari ini bakal bermulanya ujian pertama skuad remaja 'berwajah baru' bimbingan Arul Selvaraj apabila bakal turun bertemu Australia pada perlawanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya.

Selepas tiga edisi peminat dihidangkan dengan aksi menarik skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sebelum ini, kini giliran Arul pula membuktikan sentuhan didikannya juga tidak kurang hebat dan mampu menyaingi Dhaarma.

Sepanjang tiga edisi kejohanan remaja bawah 21 tahun itu sebelum ini, Dhaarma berjaya membantu pasukan menjulang piala berprestij itu pada edisi pertama.

Namun edisi kedua agak hambar tetapi tahun lalu, Dhaarma sekali lagi berjaya membawa pasukannya mara ke final sebelum tumpas 0-3 kepada India.

Bagi pengurus pasukan Mirnawan Nawawi yang menggalas tugas itu buat kali keempat, terlalu awal untuk membandingkan antara skuad bimbingan Dhaarma serta Arul ketika ini.

Jelasnya, segala-galanya hanya akan diketahui apabila berakhirnya kejohanan ini dan bermula daripada itu, beliau serta Arul akan memikirkan apakah langkah seterusnya untuk skuad remaja negara.

"Hampir rata-rata pemain yang beraksi kali ini adalah muka baru dan mereka belum pernah turun pada perlawanan kompetitif seperti ini. Peluang wajar diberikan kepada mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing

"Kita hanya akan dapat mengetahui di mana tahap kita berbanding lima pasukan lain pada hari terakhir kejohanan ini," katanya.

Mengenai Australia yang bakal ditemui hari ini, Mirnawan berkata, skuad bimbingan Arul mungkin mempunyai sedikit kelebihan selepas mengadakan empat siri perlawanan bersama pasukan Institut Sukan Australia Barat (WAIS) sebelum ini.

"Di dalam pasukan itu, ada enam pemain kebangsaan yang akan beraksi pada edisi Piala Sultan Johor kali ini.

"Daripada empat perlawanan itu, kita mencatatkan satu kemenangan dan seri tiga kali. Ia adalah satu keputusan yang positif.

"Harus diingat, pasukan Australia yang hadir pada kali ini tentunya berbeza berbanding WAIS yang kita temui.

"Tapi sedikit sebanyak, kita dapat membaca corak permainan Australia daripada perlawanan dengan WAIS," katanya.

Malaysia bakal diperkuatkan dengan penyerang Muhammad Shahril Saabah serta Meor Muhamad Azuan Hasan yang baru saja selesai tugas di Sukan Asia, Incheon bersama skuad senior.

Selain Malaysia serta Australia, empat lagi pasukan yang beraksi pada edisi kali ini ialah Britain, New Zealand, Pakistan serta juara bertahan, India.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:21 AM