DHABITAH antara penerjun sudah layak ke Rio.

Kuala Lumpur: Masih belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung penyertaan barisan atlet terjun negara ke Kejohanan Terjun Piala Dunia yang akan berlangsung di Brazil berikutan pengisytiharan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana virus Zika.

Setiausaha Agung Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen berkata, pada ketika ini semua berjalan mengikut perancangan asal dengan atlet dijadualkan berlepas ke Brazil pada Ahad depan. Kejohanan itu dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 24 Februari ini.

Katanya, ASUM akan terus berhubung dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mendapatkan penjelasan dan langkah yang perlu diambil.

“Ketika ini atlet terjun dijangka pergi ke Brazil kerana kejohanan itu pertandingan terakhir untuk mereka mendapatkan tiket kelayakan ke Olimpik Rio.

“Bagaimanapun ASUM akan mendapatkan pengesahan ISN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengetahui keadaan semasa.

“Jika serius, pastinya FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa) akan mengambil langkah pencegahan seperti membatalkan siri Piala Dunia itu,” katanya.

Seramai lapan atlet negara akan beraksi pada Piala Dunia termasuk empat penerjun yang sebelum ini sudah melayakkan diri ke Olimpik Rio iaitu Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang.

Sementara itu maklum balas diterima daripada jurulatih negara Yang Zhuliang yang kini berada di China, Mae Chen berkata, barisan atlet China tetap akan menyertai kejohanan itu seperti dirancang.

“Bagaimanapun sebarang keputusan berhubung penyertaan atlet negara akan dibuat mengikut keputusan ISN. Kami akan patuh apa saja arahan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:38 AM