Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) serta Terengganu Hockey Team (THT) terus bersaing sengit merebut kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas masing-masing mencatat kemenangan semalam.

KLHC yang memimpin saingan liga, meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Sapura hasil gol Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-18 serta Harrison Page (m-36) sebelum Sapura merapatkan jurang menerusi Izwan Firdaus (m-43).

THT pula menang besar 6-1 ke atas Maybank dengan Faizal Saari yang digantung dua perlawanan sebelum ini, seperti melepaskan geram apabila meledak hatrik.

Ketua jurulatih KLHC Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengaku anak buahnya agak berhati-hati semalam kerana mereka mahu memastikan dapat memungut tiga mata penuh untuk bekalan selesa sebelum bertemu THT, Jumaat ini.

“Kami sememangnya mahu menang perlawanan dengan Sapura untuk bekalan selesa sebelum bertemu THT.

“Apapun fokus selepas ini bertemu THT. Kami tidak mahu seri atau kalah tapi menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:06 AM