NOOR Fazira (dua dari kiri), Fatin Izzati (empat dari kiri) dan Puteri Najeeha (empat dari kanan) meraikan kejayaan meraih pingat emas.
Oleh Redzuan Muharam

Johor Bahru: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendominasi acara judo wanita individu Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) selepas menyapu tiga pingat emas dan satu perak pada perlawanan akhir di Blok N24, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini semalam.

Pingat emas berkenaan disumbangkan tiga atlet Sukan Malaysia (SUKMA), Noor Fazira Mohamed untuk kategori 48 kilogram, Fatin Izzati Ahmad Rosdi (57kg) dan Puteri Najeeha Abd Aziz (63kg) yang julung kali beraksi di temasya dwitahunan itu.

Mayzatun Aliah Mohd Halit pula menyumbang perak kategori 78kg.

Jurulatih UiTM Abd Hadi Abd Ghani gembira kerana dapat menebus kekecewaan lalu dengan merampas kejuaraan daripada pasukan tuan rumah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ini.

“Tahun lalu, kami hanya membawa pulang perak namun kali ini melepasi sasaran awal kita yang pada mulanya mensasarkan tiga pingat saja bagi acara judo wanita.

“Malah, kemenangan ini lebih menyeronokkan selepas menewaskan dua musuh tradisi dalam sukan judo iaitu UTM dan UPM (Universiti Putra Malaysia),” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Pengarah Pusat Pembangunan Sukan dan Ketua Kontinjen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Roestam Effendi.

Sementara itu, Noor Fazira berkata, dia gembira dapat menghadiahkan emas buat kontinjen sebelum SUKIPT melabuhkan tirainya esok.

“Saya agak gementar kerana sudah lama tidak beraksi malah perasaan gemuruh bertambah kerana kali pertama menyertai SUKIPT.

“Namun, saya ingat pesanan jurulatih yang mahu kami berjuang untuk UiTM. Syukurlah, kami beroleh kemenangan dan pingat ini hadiah untuk seluruh warga UiTM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:27 AM