MOHD Ibrahimnuddin (kiri) pada previu media eksklusif Tahun Baru Cina di Ciao Restaurant, Jalan Kampung Pandan.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) masih mengamalkan sikap terbuka dengan berkemungkinan menubuhkan lebih banyak anak syarikat di luar negara walaupun bercadang melupuskan perniagaan gas petroleum cecair di Vietnam.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dengan sebarang kemungkinan dalam perniagaan.

“Kami tidak pernah kata tidak, kami juga tidak kata ya. Setiap pelaburan yang dilakukan sama ada di luar atau dalam negara, syarikat harus memastikannya memberi pulangan berbaloi.

“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada ekonomi atau pulangan yang kita dapat,” katanya selepas menghadiri pelancaran Kempen ‘Coffee Break’ dan Iklan Tahun Lunar Petronas, di sini semalam.

Mengenai kesan penjualan perniagaan di Vietnam, beliau berkata, proses itu adalah sebahagian daripada rasionalisasi portfolio biasa yang akan dijalankan oleh mana-mana syarikat.

“Dari segi kewangan kami, sumbangan subsidiari antarabangsa atau asing kurang daripada lima peratus kepada pendapatan keseluruhan kami.

“Justeru, kesannya sangat minimum kerana Vietnam adalah satu daripada tiga subsidiari antarabangsa kami,” katanya sambil menambah dua lagi subsidiari masing-masing satu di Thailand dan Filipina.

Ditanya mengenai asas pegangan inventori, Mohd Ibrahimnuddin berkata, berbanding 2014, pada masa ini ia dikurangkan kepada sekitar 20 hingga 30 peratus.

Mengenai unjuran syarikat tahun ini, beliau berkata, tahun ini akan menjadi satu lagi tahun mencabar disebabkan ketidaktentuan harga minyak.

“Kami benar-benar tidak tahu hala tuju harga minyak dan sememangnya pasaran tidak menentu. Kami perlu berpegang kepada strategi pengurusan inventori dan memastikanya pada paras optimum serta menurunkan kos bagi memastikan struktur kos pada paras optimum,” katanya.

Sementara itu, sempena kempen terbaru itu, PDB melaburkan hampir RM200,000 bagi Kempen ‘Coffee Break’ sempena menyambut Perayaan Tahun Baru Cina 2016.

Pelaburan itu meningkat kira-kira RM50,000 berbanding tahun lalu dengan pembabitan 142 stesen minyak Petronas yang diadakan pada 6, 7, 13 dan 14 Februari ini.

Tahun ini, kempen itu akan menyediakan 880,000 cawan kopi, selain bekerjasama dengan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd dan Proton Holdings Berhad untuk menawarkan pemeriksaan kenderaan di Petronas LubeXperts terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 6:46 AM