Namyuk aedes menjadi pemawa virus Zika
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia sudah mengambil langkah yang diperlukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan virus Zika di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kementerian mempunyai kemudahan dan keupayaan untuk mendiagnosis virus Zika.

“Ia adalah rawatan simptomatik. Itu bukan masalah besar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, antara langkah membendung penularan virus Zika ialah mewujudkan sistem pemantauan dan pengurusan lebih berkesan di klinik kesihatan dan hospital termasuk mewujudkan pengawasan klinikal untuk kes Zika, pengawasan makmal untuk virus Zika dan pengawasan 'Microcephaly'.

Dr Subramaniam berkata tiada kes virus Zika dilaporkan dalam negara berdasarkan pengawasan berterusan kementerian.

"Sehingga semalam, 293 sampel darah daripada pesakit yang menunjukkan gejala denggi, tetapi ujian denggi negatif...ia juga diuji untuk mengesan virus Zika. Semua keputusan adalah negatif (Zika)," katanya.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia khususnya wanita mengandung menangguhkan perjalanan ke 26 negara yang melaporkan jangkitan virus Zika sebagai langkah berjaga-jaga mencegah penularan jangkitan virus itu.

Negara itu ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Costa Rica, Curacao, Republik Dominican, Ecuador, El Salvadir, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Jamaica, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Marti, Suriname, US Virgin Islands dan Venezuela.

"Jika terpaksa melakukan perjalanan, mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit nyamuk Aedes dan dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan berhampiran sekiranya menghidap gejala dan tanda seperti demam, sakit badan, ruam dan konjuktivitis selepas kembali," katanya.

Beliau berkata virus Zika boleh menyebabkan 'Microcephaly' yang menyebabkan kecacatan otak atau kepala kekal dan mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.

"Kita tidak mempunyai ubat untuk membendungnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 8:56 PM