LPG yang dirampas PPM Tawau di perairan Tanjung Batu. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan cubaan tiga individu menyeludup keluar 121 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) dan 420 liter diesel ke negara jiran dalam Op Landai di perairan Tanjung Batu, semalam.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Mohamad Madun berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, tiga individu berusia antara 30 hingga 60-an termasuk dua wanita sedang menaiki bot jongkong ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 121 tong LPG dan lima tong diesel disembunyikan di dalam jongkong berkenaan.

"Siasatan awal juga mendapati semua bahan api berkenaan tiada dokumen atau permit dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung barang yang dibawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, pihaknya terpaksa menahan semua individu terbabit selepas dipercayai cuba menyeludup barangan bersubsidi ke negara jiran.

"LPG yang bernilai RM21,780 bersama diesel yang bernilai RM567 terbabit terpaksa dirampas dan dibawa ke Pangkalan Marin Tawau untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 8:12 PM