Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Laman web Harian Metro (HM) mengukuhkan kedudukan selaku peneraju portal berita untuk akhbar arus perdana di Malaysia bagi 2015 dalam kategori berita dan maklumat.

Berdasarkan laporan dikeluarkan syarikat pengukur digital ComScore Inc, laman berita HM yang boleh dilayari menerusi www.hmetro.com.my mencatat 30.9 juta pelayar unik (UV) sepanjang tahun.

Statistik berkenaan merangkumi pelayar yang mengunjungi laman web menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet.

Laman yang lebih dikenali sebagai myMetro juga menjadi pilihan utama pengguna telefon pintar apabila mencatat UV tertinggi 19.8 juta dalam kategori berita dan maklumat mengatasi pesaingnya dengan perbezaan 1.9 juta.

Bagi peranti tablet pula, myMetro mencatat 2.3 juta UV, manakala 8.8 juta melayari laman Web itu melalui desktop.

Sementara itu, data Google Analytics pula menunjukkan myMetro memperoleh lebih 57 juta UV bagi 2015, meningkat hampir 90 peratus berbanding 30.2 juta UV pada tahun sebelumnya.

Bagi segmen video HM, MetroTV yang kini mempunyai 65,900 langganan pengguna YouTube mencatat 17.1 juta tontonan tahun lalu dengan peningkatan 9.65 peratus sejak dilancarkan pada Disember 2009.

Di laman sosial, peminat Facebook (FB) myMetro kini mencatatkan lebih 3 juta ‘likes.’

Sementara itu, Twitter rasmi HM yang bermula dengan satu akaun, menambah enam lagi akaun mengikut kawasan iaitu @hmutara bagi berita di Perlis, Pulau Pinang dan Perak, @hmtengah (Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan), @hmtimur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), @hmjohor (Johor), @hmsarawak (Sarawak) dan @metrosabah (Sabah).

Sementara itu, tiga lagi akaun TWitter memfokuskan kepada berita dunia, sukan dan teknologi iaitu @GlobalHM, @ArenaHM dan @TekLabHM turut mencatatkan peningkatan pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:04 PM