Mohd Khairul Anwar menunjukkan rokok putih yang dirampas dianggarkan bernilai RM120,000 di Perairan Parit Kuda,Semerah, malam tadi.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup 1,000 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM120,000 di Perairan Parit Kuda,Semerah, dekat sini, malam tadi.

APMM Batu pahat mengesan bot membawa rokok putih itu pada 9.30 selepas menerima aduan daripada salah seorang nelayan tempatan.

Pengarah Operasi Maritim Batu Pahat, Leftenan Maritim Mohd Khairul Anwar Hamzah berkata, sebaik tiba di lokasi, dua bot ditemui dalam keadaan mencurigakan sebelum dua individu melarikan diri menggunakan salah satu bot.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan mendapati terdapat 25 kotak berisi rokok putih dengan nilai rampasan dianggarkan RM 120,000," katanya.

Mohd Khairul Anwar berkata, pihaknya akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan yang belum diluluskan Kastam, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dari nilai duti atau cukai yang terlibat dan tidak melebihi 20 kali ganda dari nilai duti atau cukai terbabit atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 3:40 PM