Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Tidak melatah dengan kritikan Pekin Ibrahim mengenai kualiti lakonannya, pelakon Atikah Suhaime menerima dengan hati terbuka dan berazam memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Pekin baru-baru ini menyuarakan tidak yakin bergandingan dengan Atikah dalam filem terbaru, Volkswagen Kuning.

“Saya banyak bercakap dan berbincang dengan Pekin memandangkan ini gandingan pertama kami,” kata Atikah.

Tambah pelakon berusia 25 tahun ini lagi, sebelum memulakan penggambaran, mereka sudah dipertemukan dalam sesi bacaan skrip.

“Pada sesi itu kami belum serasi. Bagi saya tak mengapa, kerana selalunya di set penggambaran sebenar baru keserasian dapat dirasai,” katanya.

Bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Pekin sedikit sebanyak memberi peluang kepada Atikah menambah ilmu teknik lakonan.

“Saya tidak berapa mengenalinya secara peribadi, tetapi yakin sedikit sebanyak dapat belajar dengannya,” kata Atikah lagi.

Bukan Penakut

Mengulas reaksinya apabila ditawarkan membintangi filem seram, Atikah mengakui teruja kerana itu antara genre paling dinantinya.

“Bagi saya filem seram lebih berat dan mencabar. Apatah lagi saya kurang percaya dengan kewujudan ‘hantu’.

“Cabaran terbesar dalam menjayakan filem ini, saya kena rasa takut untuk menjiwai watak,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah mengalami pengalaman misteri dan menyeramkan, Atikah pantas menganggukkan kepala.

“Pernah beberapa kali, tetapi saya cuba mendapatkan jawapan saintifik kerana kebanyakan kejadian ada logiknya,” kata Atikah.

Sambung Atikah, dia tidak sabar menanti maklum balas penonton terhadap dua filem lakonannya yang akan ditayangkan di pawagam pada Mac depan.

“Filem My Stupid Boss lakonan saya bersama Bront Palarae dan Bunga Citra Lestari akan akan mula ditayangkan di Indonesia.

“Filem Kipidap! Selamat Hari Jadi juga akan ditayangkan pada bulan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:12 AM