CRUZ berucap kepada penyokongnya sementara diapit isterinya, Heidi, selepas diumumkan menang dalam pemilihan Parti Republikan di Iowa, Des Moines, Iowa, semalam.
Agensi

Des Moines (Amerika Syarikat): Senator Ted Cruz dengan mudah menumpaskan bilionair Donald Trump dalam persaingan penamaan calon parti Republikan bagi pilihan raya presiden Amerika Syarikat akan datang di Iowa, semalam.

Cruz, anggota Dewan berfahaman konservatif dari Texas, memenangi negeri pertama dalam persaingan parti Republikan dengan meraih 28 peratus undi di Iowa, berbanding 24 peratus yang dimenangi Trump.

Senator Rubio, senator dari Florida menduduki tempat ketiga dengan 23 peratus undi, pencapaian lebih kukuh berbanding yang dijangka.

Di sebelah parti Demokrat pula, bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton dan Bernie Sanders, Senator dari Vermon, terikat dengan masing-masing menerima kira-kira 50 peratus undi.

Kemenangan Cruz dan pencapaian besar Rubio membayangkan momentum Trump, yang terkenal kerana keceluparannya hingga mencemaskan parti Republikan, akan terjejas.

Kempen hartawan hartanah itu dicemari dengan pelbagai kontroversi, termasuk gesaan supaya penganut Islam dilarang memasuki Amerika Syarikat dan ikrarnya untuk membina tembok di sepanjang sempadan Amerika Syarikat-Mexico.

“Ini ialah kemenangan golongan konservatif di Iowa dan seluruh Amerika Syarikat,” kata Cruz, 45, ketika berucap selama lebih 30 minit selepas diumumkan pemenang.

Trump, 69, mengucapkan tahniah kepada Cruz dan pada masa sama, tetap yakin memenangi pencalonan Republikan.

Kaji selidik terbaru menunjukkan dia masih mendahului di peringkat kebangsaan dan di New Hampshire, negeri yang akan mengadakan pengundian selepas ini.

Seorang penasihat Trump berkata, kekalahan Trump di Iowa memang dijangka.

Iowa menjadi negeri pertama mengadakan pengundian untuk memilih calon sejak awal 1970-an, memberikan kelebihan kepada proses pilihan raya yang boleh diterjemahkan kepada momentum untuk calon yang menang.

Sementara itu, keputusan persaingan parti Demokrat memberi tekanan kepada Hillary untuk meningkatkan kempennya sekiranya mahu mengalahkan Sanders.

Hillary, 68 berkata, dia lega selepas keputusan di Iowa. Dia kalah kepada Barack Obama pada persaingan pencalonan Demokrat pada 2008 di negeri itu.

Sanders, 74, berkata, dia teruja dengan pencapaiannya di Iowa. Dia dijangka menang di New Hampshire minggu depan tetapi ketinggalan kepada Hillary di negeri lain, termasuk Carolina Selatan, yang akan menjadi negeri ketiga mengadakan pemilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:49 AM