TAN memberi penerangan mengenai siri peti sejuk Family Hub dan peti sejuk bagi segmen pertengahan.
KETUA Pengguna Perniagaan Elektronik Samsung Electronic Jimmy Tan Chee Wee (tiga dari kanan) memberi taklimat kepada media.
MESIN basuh Samsung Addwash menawarkan pelbagai ciri menarik kepada pengguna termasuk SuperSpeed.
MODEL menunjukkan paparan pada siri peti sejuk Family Hub.
Oleh Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


Tahun 2016 dilihat sebagai gerbang terbaik buat Samsung Electronics Co Ltd (Samsung) untuk memperkenalkan pelbagai inovasi serta pembaharuan produknya yang tampil memberi kelebihan kepada penggunanya.

Semua perkakasan elektronik daripada jam tangan pintar sehinggalah ke mesin pendingin hawa menampilkan kelainan yang bakal menjadikan orang ramai khususnya pengguna tegar Samsung terpegun dengan kehebatan fungsi perkakasan berkenaan.

Malah, dalam Forum Samsung Asia Tenggara (SEA) 2016 di Kuala Lumpur kali ini, Samsung terus meletakkan kepuasan pelanggannya sebagai perkara utama di samping akan mempergiatkan usaha dengan memperkenalkan lebih banyak produk inovasi mesra pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Electronics South East Asia & Ocenia Yong Sung Jeon berkata, dalam setiap pembaharuan produk yang dilakukan, Samsung akan sentiasa melihat ke hadapan supaya ia bukan sahaja membantu mengukuhkan jenama malah meningkatkan kualiti hidup setiap pelanggan.

“Tahun ini adalah masanya dan kami begitu teruja untuk menampilkan produk dan perkhidmatan baharu yang menjangkaui revolusi kehidupan serba pintar seterusnya membawa Internet untuk segalanya (IoT) dalam gaya hidup pengguna,” katanya dalam Forum Samsung SEA 2016 di sini, kelmarin.

Dalam forum berkenaan, Samsung mempamerkan televisyen pintar yang menjanjikan pengalaman yang lebih menyeronokkan serta kepuasan dalam setiap tontonan iaitu barisan televisyen Samsung SUHD dengan paparan dot kuantum.

Ciri yang ditampilkan oleh paparan dot kuantum itu memberikan kesan yang lebih cantik bagi setiap sudut dengan kelebihan fungsi pintarnya membuatkan pengguna senang untuk mengakses semua saluran televisyen dan kandungan media sosial dengan satu alat sahaja.

Lengkap dengan 10-bit paparan dot kuantum, ia menawarkan pengalaman paparan HDR premium dengan minimum 1,000 nit untuk paras perbezaan antara imej gelap dan cerah yang tinggi.

Rangkaian televisyen pintar ini turut dikemaskan dengan sistem operasi Tizen yang akan memudahkan pengguna untuk meneroka kandungan dan perkhidmatan iaitu meliputi perihal televisyen pintar, filem, permainan video dan maklumat program yang direka penuh elegan.

Lebih menarik, ia turut mempunyai kelebihan iaitu kewujudan hab pintar, kawalan pintar dan paparan pintar yang memberikan fungsi masing-masing seperti akses pintas ke kandungan kegemaran, mengenal pasti konsol berbeza secara automatik dan membolehkan pengguna berkongsi dengan ahli keluarga yang lain.

Sementara itu, Samsung turut memperkenalkan siri peti sejuk premium yang pasti memberikan pengguna pengalaman yang lebih hebat apabila siri baru itu, Family Hub yang menghubungkan pelbagai peranti dengan hanya menggunakan WiFi.

Bakal dijual di pasaran Malaysia mulai Mac ini, peti sejuk pintar itu bukan sahaja memberikan kelainan malah ia membawa transformasi digital kepada perkakasan rumah yang disuntik dengan teknologi terkini.

Peti sejuk Family Hub yang mempunyai pelbagai fungsi berlainan bakal memberikan kesenangan khususnya kepada suri rumah untuk menyimpan barangan dapur seperti ikan, ayam, sayur dan buah di mana ia dilengkapi dengan tiga lensa kamera 2 megapiksel bagi mengambil gambar setiap kali menyimpan barang.

Antara keupayaannya termasuk pusat komunikasi keluarga iaitu paparan komunikasi yang menggunakan papan skrin sentuh 21.5 inci dengan definisi tinggi (HD) penuh yang terletak di atas sebelah kanan pintu peti sejuk itu dan ia membolehkan untuk menulis nota ringkas, kalendar dan gambar.

Selain itu, pilihan resipi juga dapat diakses dengan chef kegemaran apabila ia turut diprogramkan dengan kandungan resipi mengikut cita rasa masing-masing dan adalah aplikasi yang mudah terutamanya mereka yang ingin menjimatkan penggunaan kertas.

Dengan hanya sambu­ngan WiFi, pengguna masih boleh menonton drama ataupun filem daripada televisyen yang berada di ruang tamu ataupun untuk mendengar musik ketika memasak ataupun makan di dapur.

Pada masa sama, selain siri peti sejuk Family Hub, Samsung juga memperkenalkan peti sejuk bagi segmen pertengahan yang menggunakan ciri unik dua sistem penyejukan iaitu Twin Cooling Plus yang direka khusus untuk gaya hidup moden.

Bakal berada di pasaran pada penghujung suku pertama tahun ini, Twin Cooling Plus dilengkapi dengan dua sistem penyejat yang mempunyai dua aliran udara yang berasingan dalam peti sejuk dan bahagian sejuk beku seterusnya mengelak dari masalah bau yang kurang menyenang­kan.

Samsung juga tidak melupakan segmen mesin basuh di mana syarikat gergasi itu berjaya mencipta inovasi baharu yang berjaya me­nyelesaikan masalah untuk menambah pakaian cucian ketika mesin sedang digunakan.

Oleh itu, mesin basuh Samsung Addwash mampu jadi penyelesaiannya kerana ia mempunyai pintu kecil di hadapan untuk pengguna menambah pakaian ataupun untuk meletakkan sabun cucian tambahan.

Menjadikannya lebih menarik, ia akan memberikan durasi masa cucian yang lebih cepat, bersih dan efisien dengan ciri SuperSpeed yang membawa transformasi positif kepada suri rumah.

Bagi jam tangan pintarnya, atau dikenali sebagai Samsung Gear S2 kini didatangkan dengan varian warna yang unik iaitu Rose Gold dan Platinum khusus kepada mereka yang gemarkan gaya klasik. Dua model baru itu mencerminkan usaha Samsung untuk menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk penggayaan yang lebih unggul.

Sementara itu, Samsung tidak ketinggalan untuk menghasilkan produk tablet baharu antaranya Galaxy Tab­Pro S yang menyatukan teknologi kelas dunia Samsung dan dikuasakan oleh sistem operasi Windows 10 menjadikannya sebagai tablet premium.

Dengan mengintegrasikan ciri-ciri komputer riba dan tablet, pengguna kini boleh menggunakannya fungsi komputer riba sepenuhnya yang hanya menggunakan tablet ringan dan dengan pengalaman mudah alih yang luar biasa.

Bagi yang ingin mengemas rumah dengan kaedah vakum yang mudah, Samsung menyediakan produk vakum serba mudah iaitu Samsung PowerBot yang berkeupayaan menghilangkan kotoran lantai dengan mudah.

Paling mengagumkan, pengguna juga boleh me­nyambungkan peranti berkenaan yang dilengkapi sensor pandangan penuh 2.0 dan sistem peta untuk pembersihan optimum itu dengan telefon pintar menjadikannya lebih pantas hanya dengan menggunakan aplikasi yang diboleh dimuat turun di Google Play Store.

Bagaimanapun, semua produk yang dipamerkan dalam Forum Samsung SEA 2016 ini bakal menemui peminatnya pada suku pertama atau separuh pertama tahun ini bergantung kepada pasaran semasa.

Tahun lalu, Samsung terus unggul apabila muncul sebagai jenama terbaik di rantau Asia untuk kali keempat berturut-turut daripada kempen dalam talian yang dikendalikan oleh Campaign Asia-Pacific, kerjasama bersama Nielsen.

Selain itu, Samsung bukan sahaja dikenali mengetuai pasaran telefon pintar malah ia turut ke hadapan dalam telefon bimbit, peti sejuk dan televisyen di samping tersenarai dalam tangga lima teratas dengan sekurang-kurangnya 14 produk elektronik pengguna dunia.

Dalam masa yang sama, Samsung turut mengumumkan Samsung Pay bakal berada di rantau Asia Tenggara dan Ocenia pada tahun ini yang akan bermula di Singapura dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 5:00 AM