MURID perempuan berhimpun berhampiran lokasi serangan berani mati di Kabul, semalam.

Kabul: Seorang pengebom berani mati Taliban semalam menyerang balai polis di pusat bandar Kabul, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan terkorban hanya beberapa hari menjelang perbincangan yang diharap dapat memulakan semula usaha rundingan damai dengan kumpulan itu.

Puluhan orang cedera dalam kejadian bom di pintu masuk balai itu dengan beberapa mayat serta puing terbakar berteraburan.

Menteri dalam negeri pada mulanya melaporkan serangan itu sebagai bom kereta, tetapi kemudian berkata, penyerang itu sebenarnya berjalan kaki dan meletupkan dirinya di barisan orang yang beratur untuk memasuki balai berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohammad Ayoub Salangi berkata di Twitter: “10 orang dilaporkan terbunuh dan 20 lain cedera dalam serangan berani mati di dataran Deh Mazang, Kabul.

“Kebanyakan mangsa orang awam.”

Jurucakap polis Kabul, Basir Mujahid kemudian mengesahkan jumlah kematian sebenar sembilan orang dengan sekurang-kurangnya 12 orang termasuk seorang wanita cedera.

Kementerian kesihatan berkata, beberapa mangsa parah akibat terkena serpihan pada dada dan kini dalam keadaan kritikal.

Serangan berlaku beberapa hari sebelum pusingan ketiga perbincangan membabitkan empat negara yang berusaha mewujudkan asas rundingan antara Kabul dengan Taliban.

Wakil dari Afghanistan, Pakistan, China dan Amerika Syarikat dijadualkan bertemu di Islamabad pada 6 Februari ini untuk berbincang bagi menamatkan pemberontakan 14 tahun Taliban. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 9:59 AM