Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Saya siswa tahun dua di sebuah universiti tempatan. Saya berasal daripada keluarga yang agak besar. Saya agak manja dengan keluarga menyebabkan mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di asrama dan persekitaran di universiti.

Walaupun kini saya berada di tahun dua, saya masih lagi belum sepenuhnya mampu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di universiti. Setiap hari saya akan menangis dan menghubungi keluarga menyatakan ingin pulang ke rumah.

Ada suatu hari saya berasa terlalu rindu kepada keluarga sehingga tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika berada dalam kuliah. Ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya dalam pelajaran.

Malah, apabila berada di asrama, saya akan berasa sangat tertekan kerana terlalu rindu keluarga sehingga tidak boleh berada bersendirian di bilik.

Hal ini mungkin terjadi kerana saya belum pernah mempunyai pengalaman tinggal di mana-mana asrama, tambahan pula terpisah daripada keluarga tercinta.

Ia sangat mengganggu pelajaran hingga menjejaskan keputusan peperiksaan. Ini kerana setiap kali saya ingin mengulang kaji pelajaran, saya akan teringat keluarga.

Kadang-kadang terfikir untuk berhenti daripada belajar dan pulang ke kampung untuk bersama keluarga. Namun, apabila teringat kata-kata ibu dan ayah agar belajar bersungguh-sungguh, saya masih lagi mampu bertahan sehingga kini.

Saya berasa sungguh sunyi dan tidak mampu untuk menumpukan perhatian ketika belajar. Jadi Dr, apakah cara terbaik untuk mengatasi masalah ini? Ini kerana dari hari ke hari saya merasakan sudah pun gagal untuk meneruskan pelajaran.

RINDU KELUARGA,

Johor

Berada dalam lingkungan orang tidak dikenali untuk pertama kali menjadikan adik resah dan mahu pulang bertemu dengan keluarga yang selama ini disayangi. Adik perlu adaptasi diri dengan punca masalah utama yang adik hadapi.

Pada pandangan Dr, setiap manusia itu perlu untuk mengalami transisi perubahan daripada komuniti keluarga kepada komuniti masyarakat. Kita akan melihat perkembangan sosial dan kita adalah satu komponen daripadanya.

Dr nasihatkan adik untuk cuba mencari kawan supaya tidak sunyi dan memikirkan untuk balik ke rumah.

Manusia memerlukan kawan untuk berkongsi suka duka dan membantu dalam pembelajaran. Jika adik mampu, carilah kawan baik yang boleh dianggap sebagai ahli keluarga.

Penuhilah masa adik dengan mengulang kaji pelajaran ataupun aktiviti sosial yang sihat bersama-sama kawan di kampus. Ini akan mengurangkan ingatan untuk pulang.

Bagi pengetahuan adik, zaman di kampus adalah zaman paling manis kerana banyak pengalaman adik boleh pelajari .

Adik juga akan terus membesar dan meninggalkan keluarga apabila sudah berkahwin nanti. Jadikanlah jarak ini untuk adik membuktikan kematangan pada keluarga.

Harapan ibu dan ayah jadikanlah sebagai motivasi untuk terus belajar. Jangan kecewakan mereka dengan sikap terlalu manja kerana ini akan memusnahkan harapan mereka melihat adik berjaya di menara gading.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:01 AM