BERGANDING bahu menghijaukan Cameron Highlands dengan pokok damar minyak.
Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


Keprihatinan terhadap alam sekitar merancakkan pergerakan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah yang selalu terbabit dalam aktiviti menanam pelbagai spesies pokok balak dan bakau.

Setiap tahun program tang­gungjawab sosial itu dianjurkan bagi membuktikan keprihatinan pada hutan dan alam sekitar sentiasa tersemat dalam jiwa insan bergelar wanita walaupun sibuk dengan tugas menguruskan rumah tangga.

Pengerusinya Aliza Abd Ghani berkata, aktiviti menanam pokok hutan sudah menjadi agenda utama persatuan sebagai usaha memulihara alam sekitar terutama di kawasan yang taburan tumbuh-tumbuhannya dikategorikan tidak padat disebabkan pelbagai faktor.

Katanya, sebelum ini program menghijaukan bumi lebih tertumpu di Kedah saja dengan aktiviti menanam pokok bakau di kawasan hutan Yan dan Kuala Muda yang begitu mencabar apabila terpaksa menaiki bot selain berjalan dalam lumpur.

Aktiviti menanam pokok bakau di kawasan berpaya memerlukan semangat dan kesungguhan yang tinggi apabila mereka terpaksa berjalan dalam lumpur hingga ke paras pinggang sambil membawa benih pokok.

“Kerjasama diberikan pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) yang turut terbabit setiap kali program menanam pokok bakau diadakan menambahkan lagi keyakinan kami untuk terus menjayakan aktiviti mencabar itu.

“Cabaran menaiki bot dan berjalan dalam lumpur tidak lagi menjadi halangan besar kepada ahli yang memikul amanah untuk memulihara alam sekitar dengan cara menambah jumlah pokok di kawasan sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Menanam Pokok Balak di Hutan Simpan Gunung Siku, Cameron Highlands, Pahang, yang dirasmikan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Ku Azmi Ku Aman, baru-baru ini.

Seramai 36 ahli PUSPANITA menyertai program itu sebagai usaha menyokong Program Penghijauan Cameron Highlands anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang berjaya menanam 500 pokok balak spesies damar minyak.

Aliza berkata, kali pertama menyertai program menanam pokok di Cameron Highlands adalah satu pengalaman menarik walaupun berdepan pelbagai cabaran yang tidak diduga.

Menurutnya, untuk sampai ke kawasan menanam peserta terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira 15 minit melalui jalan bukit yang boleh dilalui satu kenderaan saja.

“Sebahagian jalan terletak dalam kawasan kebun sayur yang menarik dan suhu sejuk menambahkan lagi keceriaan peserta yang kali pertama menyertai program itu.

“Pengalaman menanam pokok balak jenis damar minyak dalam kawasan bekas kebun sayur adalah pengalaman tidak mungkin dilupakan, saya berpuas hati walaupun dapat menanam tiga pokok saja,” katanya.

Peserta, Siti Armiza Mohd Razi, 35, berkata suasana persekitaran yang sejuk dan berangin menambahkan lagi semangat untuk menanam seberapa banyak pokok.

Menurutnya, pemandangan berada di atas puncak Gunung Siku begitu menarik dan menghiburkan apabila dapat melihat ladang sayur dan kebun bunga termasuk kawasan hutan semula jadi.

“Walaupun penat mendaki bukit namun keseronokan menanam pokok membuatkan usaha kami selama tiga jam itu tidak terasa. Saya harap program menanam pokok balak di Cameron Highlands dapat terus diadakan pada masa akan datang dalam usaha mengeratkan lagi hubungan antara ahli PUSPANITA dengan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:01 AM